Pengarah BPV

Mantan Pengarah BPV

Contact Information

Call: +603 88702009

Email: rozanah@dvs.gov.my

Dr. Rozanah Asmah bt. Abd. Samad

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera

Selamat Datang ke Portal Rasmi Bahagian Penyelidikan Veterinar (BPV)

Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan terima kasih dan sekalung tahniah kepada staf BPV diatas segala usaha murni dan inisiatif mewujudkan portal rasmi bahagian penyelidikan ini. Portal rasmi ini diwujudkan khas oleh BPV bagi tujuan kemudahan rujukan berkaitan penyelidikan seperti jurnal, hasil penyelidikan, kertas saintifik, pembentangan, bahan-bahan ilmiah serta aktiviti-aktiviti berkaitan penyelidikan dan ilmiah sama ada oleh pegawai penyelidik, pegawai veterinar, atau kakitangan DVS. Portal ini lebih tertumpu sebagai pusat rujukan untuk hasil penyelidikan dalaman mahu pun luaran bagi kemudahan mendapatkan bahan-bahan ilmiah setempat kepada pegawai-pegawai DVS atau sesiapa yang berminat. Portal ini juga boleh digunakan sebagai medium perbincangan antara para penyelidik DVS, para ahli akademik dan penyelidik dalaman mahu pun luaran.

Sebagai sebuah bahagian yang bertanggungjawab mengurus hal-hal penyelidikan di DVS adalah wajar untuk mewujudkan sebuah portal rasmi penyelidikan bagi dijadikan sebagai pusat pengumpulan hasilan penyelidikan yang meliputi kesihatan veterinar, kesihatan awam veterinar dan pengeluaran ternakan yang diusahakan oleh pegawai-pegawai di DVS termasuk yang menjalinkan kerjasama dan bantuan daripada DVS. Oleh hal yang demikian, pembangunan portal rasmi penyelidikan ini relevan sebagai pusat pengumpulan semua maklumat berkaitan penyelidikan bersesuaian dengan fungsi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sebagai pihak berkuasa yang kompetent dalam menangani isu dan permasalahan berkaitan kesihatan veterinar (isu-isu penyakit haiwan dan zoonotik), kesihatan awam veterinar (isu-isu berkaitan keselamatan makanan dan kerintangan ubatan veterinar) dan pengeluaran ternakan (isu-isu berkaitan kualiti ternakan, pemakanan dan hasilan ternakan).

Bagi mengekalkan kerelevanan BPV di DVS, maka bahagian ini perlulah lebih aktif dalam menjalankan penyelidikan gunaan dan aplikasi bagi memastikan haiwan dan hasilan ternakan sebagai sumber makanan manusia adalah terus selamat dan mencukupi bagi rakyat Malaysia. Pelbagai isu boleh dijadikan penyelidikan bagi mencari penyelesaian yang sesuai dan terbaik bagi kesejahteraan semua. Data-data dan maklumat-maklumat yang terkumpul di jabatan, boleh dianalisis bagi tujuan  menghasilkan informasi yang boleh digunapakai bagi penambahbaikan sesuatu isu atau masalah. Penyelidikan boleh diterokai dalam pelbagai bentuk sama ada analisis data, pemerhatian, kajian lapangan dan sebagainya yang akhirnya penemuan hasil penyelidikan ini dapat digunakan sebagai agen perubahan dan pembaikan bagi sesuatu isu dan masalah antaranya bagi pembentukan sesuatu polisi dan hala tuju jabatan, penghasilan produk, penghasilan prosedur-prosedur dan kaedah-kaedah ujian dan sebagainya. Segala bentuk produk yang terhasil daripada sesuatu penyelidikan ini akan dimuat naik melalui portal penyelidikan rasmi ini supaya dapat dimanfaatkan oleh semua pihak terutama bagi kakitangan DVS khasnya dan penyelidik lain amnya.

Diharapkan dengan adanya portal rasmi penyelidikan ini dapatlah kiranya menjadi asbab untuk warga DVS terutama yang berminat dalam penyelidikan memanfaatkan maklumat dengan sebaik-baiknya sebagai sumber rujukan dan pencetus idea bagi meningkatkan kreativiti dan inovasi diri yang akhirnya akan membawa lebih kebaikan kepada jabatan. Berdasarkan amanat KPPV untuk menjadikan warga DVS berkemahiran dengan kepakaran tinggi supaya Perkhidmatan DVS dapat diangkat ke tahap yang lebih tinggi dan disegani, maka setiap pegawai di DVS perlulah meningkatkan kemahiran dan pengetahuan diri melalui pelbagai medium yang ada. Antara kemahiran dan pengetahuan tersebut termasuklah melalui bidang penyelidikan. Ketangkasan berfikir dan mengaplikasi sesuatu bentuk ilmu dalam kerja seharian dapat menjadikan seseorang pegawai itu lebih berwibawa dan kompetent. Oleh yang demikian, portal rasmi penyelidikan sebagai sumber rujukan ilmiah ini diharapkan dapat dijadikan sumber inspirasi dan kreativiti bagi pegawai-pegawai DVS yang berminat.

Sebagai penutup kata, ingin saya titipkan sedikit pedoman untuk kebaikan bersama iaitu setiap ilmu yang diperolehi dan dikongsi bersama tidak akan menjadikan diri seseorang itu papa malah perkara tersebut akan dijadikan asbab untuk mendapat lebih ganjaran keberkatan di samping meningkatkan sahsiah dan jati diri seseorang.

Sekian, Wallahu’alam.