KESAN HARGA MINYAK DI PASARAN GLOBAL TERHADAP HARGA AYAM

Fakhrulisham R. dan Syed-Hussein S.A.

Fakhrulisham R. dan Syed-Hussein S.A.

Peningkatan kesedaran masyarakat terhadap gizi dan makanan sihat telah mencipta satu transformasi terhadap permintaan pasaran pada masa sekarang. Peningkatan sosioekonomi juga meningkatkan taraf dan kemampuan masyarakat di Malaysia untuk mendapatkan sumber keperluan mereka. Masyarakat di negara ini lebih cenderong untuk mengambil daging ayam dan telur kerana ia merupakan sumber protein yang murah dan mudah diperolehi. Namun peningkatan harga komoditi utama seperti minyak mentah dan sumber makanan ternakan seringkali dikaitkan dengan peningkatan harga ayam di pasaran. Justeru, kajian ini dijalankan untuk mendapatkan gambaran sebenar perkaitan harga pasaran komoditi utama dunia terhadap harga pasaran ayam di Malaysia. Data-data harga pasaran dalam tempoh 7 tahun bermula 2003 sehingga 2009 diperhati dan dianalisis. Ujian korelasi berganda antara harga komoditi digunakan untuk melihat perkaitan dan perhubungan antara komoditi tersebut. Kajian ini menggunakan perisian SPSS untuk memproses dan menganalisis data tersebut. Analisis data yang telah dilakukan menunjukkan bahawa harga pasaran komoditi minyak dan bahan makanan di pasaran mempunyai perkaitan yang signifikan dengan harga kos pengeluaran daging ayam. Berdasarkan keputusan ini jelas menunjukkan bahawa harga minyak mentah global mempengaruhi kos industri pengeluaran daging ayam dan seterusnya meningkatkan harga daging ayam di pasaran. Namun kajian menyeluruh dan lebih mendalam perlu dilakukan pada masa hadapan untuk mengetahui faktor-faktor dan keadaan sebenar punca kenaikan harga pasaran daging ayam seterusnya dapat membina model harga untuk mengawal harga pasaran daging ayam di Malaysia.