Jangkitan Pernafasan Oleh Virus Di Kalangan Kawanan Unggas Domestik (siri 1)

Dr. Iswadi Ismail

Dr. Iswadi Ismail

Jilid 5 No 3

Secara umumnya, unggas domestik adalah sejenis haiwan ternakan kelompok burung dimana daging, telur atau bulunya boleh dimanfaatkan untuk kepentingan ekonomi. Kelompok burung ini terdiri daripada kumpulan Galiformes seperti ayam, ayam belanda, ayam piru, puyuh dan sebagainya, ataupun kumpulan Anseriformes seperti itik dan angsa.

Di Malaysia, unggas domestik adalah merupakan antara penyumbang utama bagi sektor ekonomi pertanian negara. Berdasarkan Perangkaan Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) 2019/2020, bilangan ternakan unggas domestik menunjukkan peningkatan bagi tahun 2020 jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Terdapat peningkatan ternakan ayam sebanyak 5.25% di Semenanjung Malaysia, 7.43% di Sabah dan 5.10% di negeri Sarawak. Manakala bagi ternakan itik, terdapat peningkatan sebanyak 2.81% di Semenanjung Malaysia dan 2.11% bagi negeri Sabah. Walaupun begitu, terdapat sedikit penurunan sebanyak 3.45% bagi negeri Sarawak. Tambahan, pada tahun 2019, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan sektor ternakan menyumbang sebanyak 15.3% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).