pre-loader

Research Article Library

Find Your Article

flower

PEMBANGUNAN PENGHASILAN SERANGGA SECARA SKALA BESAR SEBAGAI SUMBER MAKANAN BURUNG WALIT

Share Now

Khoo C.K. dan Kamarudin M. I.

Sarang burung walit merupakan komoditi yang bernilai tinggi. Oleh yang demikian, industri penternakan burung walit berpotensi menjadi industri penternakan yang menguntungkan. Sebagai insektivor, diet burung walit terdiri daripada pelbagai jenis serangga. Sebagai langkah komplemen kepada populasi serangga liar, penghasilan serangga secara skala besar sebagai sumber makanan burung walit perlu diterokai. Dalam kajian ini, pembangunan penghasilan serangga secara skala besar menggunakan diptera, Megaselia scalaris sebagai model dilaporkan. Penghasilan secara skala besar M. scalaris telah dijalankan di Institut Veterinar Malaysia. Proses penghasilan telur oleh M. scalaris dewasa dijalankan selama 12 jam pada 26-28oC dalam kebuk kain muslin tertutup. Setelah selesai proses peneluran, M. scalaris dituai dan disimpan pada -20oC untuk digunakan sebagai makanan burung walit. Telur M. scalaris yang bertaburan diatas dulang makanan kemudiannya dipindahkan ke dulang pemeliharaan untuk proses penetasan larva seterusnya penghasilan pupa pada 26-28oC. M. scalaris dewasa yang menetas daripada pupa digunakan untuk proses pembiakan dan penghasilan telur yang seterusnya. Proses ini diulangi untuk menghasilkan serangga secara skala besar yang berterusan untuk menjadi makanan burung walit. Didapati, pada suhu 27?C kadar kemandirian M. scalaris adalah tinggi dan masa perkembangan larva dan pupa adalah paling singkat. Kelembapan makanan pada 50-80% diperhatikan memberikan perolehan pupa, berat pupa dan penetasan M. scalaris dewasa yang paling tinggi. Analisis proximat menunjukkan bahawa M. scalaris dewasa mengandungi 58.7% protein kasar, 28.0% lemak kasar dan 5.5% kandungan abu. Kesimpulannya, pembangunan penghasilan serangga secara skala besar berjaya dilaksanakan.

Categories: Penyelidikan Pengeluaran Ternakan
Tags: BPT, Pemakanan