Haryani Hamazah, Norfadzrin Fadzil, Aswanimiyuni Arshad dan Azman Abdullah
Kebanyakan tanah tropika mengalami luluhawa yang tinggi, berasid dan status kesuburan yang rendah. Hujan yang tinggi dan kadar pertukaran kation (KPK) yang rendah mempengaruhi pembajaan dan pengapuran yang banyak bagi mengatasi dan meningkatkan potensi tanah ini. Larut lesap (leaching) NH4+ dan K+ juga adalah tinggi di kawasan tropika. Di Semenanjung Malaysia lebih daripada dua pertiga jumlah keseluruhan tanah adalah berasid. 93% tanah di Tropika berhadapan dengan masalah kekurangan Nitrogen (N). N adalah salah satu unsur yang penting dalam tanah bagi perkembangan pertumbuhan tanaman dan secara umumnya, sebanyak 0.20% unsur N diperlukan untuk meneruskan kelangsungan pertumbuhan ini. Namun, jumlah ini sukar didapati di kebanyakan tanah disebabkan oleh keasidan tanah. Larut lesap, dinitrifikasi dan pemeruapan akan menyebabkan kehilangan unsur N sedangkan unsur N adalah komponen utama protein dan juga penting bagi penghasilan klorofil yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan dan kualiti rumput yang baik dengan nilai nutrien yang diperlukan oleh ternakan mencukupi. Oleh itu, satu kaedah untuk mengurangkan kehilangan ini adalah melalui pengikatan ion ammonium (NH4+) yang tinggi dalam tanah. Pengikatan ini boleh dijayakan melalui penambahan peminda tanah (soil amendment) yang sesuai dan berkesan. Oleh itu, antara agen peminda tanah semulajadi yang berpotensi tinggi ialah ZEOLITE selain daripada kapur, habuk kayu dan kompos (Zubaidah, 2002).