Inclusion Body Hepatitis (IBH) ialah penyakit ayam yang disebabkan oleh virus adeno unggas (Fowl Adenovirus, FAdV) dan memberi kesan besar kepada industri penternakan ayam. Penyakit ini dicirikan oleh kehadiran inclusion bodies, iaitu gumpalan virus kecil di dalam sel, yang hanya boleh dilihat melalui pemeriksaan mikroskop. Lesi utama biasanya berlaku pada hati, pankreas dan buah pinggang, dengan hati mengalami keradangan yang ketara. IBH boleh menjangkiti ayam daripada semua peringkat umur termasuk ayam pedaging, penelur dan pembiak baka, serta boleh menyebabkan pertumbuhan terbantut dan kadar kematian yang tinggi, sekali gus mengakibatkan kerugian ekonomi kepada penternak.
Penyebaran IBH berlaku melalui beberapa cara, antaranya pemindahan virus daripada induk ayam penelur kepada anak ayam melalui telur, pendedahan kepada najis ayam yang dijangkiti, serta penggunaan peralatan ladang yang tercemar. Virus ini mampu bertahan selama beberapa minggu dalam persekitaran, menjadikannya sukar dikawal tanpa langkah biosekuriti yang ketat. Ayam yang dijangkiti tidak mati serta-merta, sebaliknya menunjukkan tanda seperti pertumbuhan lemah, bulu kusut, posisi membongkok dan kematian mengejut dalam beberapa hari selepas jangkitan.
IBH tidak berjangkit kepada manusia dan daging ayam yang dimasak dengan sempurna adalah selamat dimakan. Di Malaysia, kes IBH telah dilaporkan sejak tahun 2015 di beberapa negeri. Bagi mengawal penyakit ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah membenarkan penggunaan vaksin autogenous di ladang tertentu. Langkah kawalan utama termasuk amalan biosekuriti yang ketat, pengurusan stres ayam, kawalan penyakit lain yang menjejaskan imuniti, serta program vaksinasi yang menyeluruh bagi memastikan kesihatan ternakan dan jaminan bekalan makanan negara.