Peningkatan harga input pertanian seperti baja amat mempengaruhi kelangsungan pengeluaran sumber makanan bagi ternakan. Keberkesanan pengurusan pastura, termasuk pembajaan secara langsung adalah sangat penting bagi memastikan kelangsungan produktiviti foder dan menjamin kualiti pengeluaran hasilan ternakan. Kaedah konvensional pengurusan pembajaan foder secara manual mahupun penggunaan traktor memerlukan tenaga kerja yang tinggi bahkan berisiko kepada pengendali bagi kawasan bercerun dan berbukit. Teknologi Unmanned Aircraft System (UAS) atau dron telah muncul sebagai suatu penyelesaian inovatif yang mampu meningkatkan kecekapan pembajaan pastura melalui ketepatan dan automasi. Objektif kajian ini adalah untuk menilai kebolehlaksanaan penggunaan teknologi UAS dalam cerapan imej serta pengurusan pembajaan foder dan mengoptimumkan penggunaan input pertanian dalam pengeluaran foder. Kajian telah dijalankan di pedok foder berkeluasan 2.13 ekar di Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK), Jerantut, Pahang. Kajian melibatkan empat rawatan bagi jenis baja granular dan foliar menggunakan kaedah penyemburan UAS berbanding konvensional dengan sejumlah 12 plot bersaiz 560 m². Pengimejan UAS, pemotongan dan persampelan foder serta bacaan klorofil dijalankan pada hari ke-35, 45 dan 60 selepas pertumbuhan semula. Keputusan menunjukkan tiada perbezaan signifikan bagi hasil pengeluaran kesemua empat rawatan kajian masing-masing (0.82, 0.74, 0.62, 0.67 kg/m²). Kandungan protein kasar (CP) di antara kaedah pembajaan juga didapati tidak signifikan bagi UAS (10.09%) dan konvensional (10.33%) untuk kumpulan jenis baja granular, manakala 8.06% untuk kaedah UAS dan 8.18% untuk kaedah konvensional bagi baja foliar. Namun, faktor penjimatan dapat dicapai dengan penggunaan input baja yang lebih rendah iaitu 92 kg/ekar/tahun (UAS) berbanding 264 kg/ekar/tahun (konvensional). Kecekapan proses pembajaan turut dapat dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi UAS iaitu 15 kg/ekar/minit berbanding kaedah konvensional 6–9 kg/ekar/minit. Kesimpulannya, adaptasi penggunaan teknologi UAS dalam pengurusan foder mampu memberi hasil yang optimum berbanding kaedah konvensional, di samping penjimatan kos pengeluaran foder sehingga 55% merangkumi pengurangan penggunaan baja, tenaga kerja, masa serta keupayaan perekodan aktiviti kerja secara digital
Kata kunci: UAS, pembajaan foder, automasi, kos pengeluaran.